HeadLines
a
Berita Harian 10 Mar 1999

Guna Internet Promosi Pelancongan Negara
Oleh Hizral Hisham
Gambar: Sobri Sudin

Sektor pelancongan di negara ini mempunyai pertalian yang amat rapat dengan telekomunikasi bentuk baru dalam era digital kerana ia boleh dimanfaatkan sepenuhnya bagi tugas mempromosi produk pelancongan negara.

Menteri Kebudayaan and Pelancongan, Datuk Seri Sabbaruddin Chik, berkata kecanggihan teknologi seperti penyampaian, rangkaian gentian optik, satelit, penghantaran data, Internet dan laman web menjadi wadah bagi mengerakkan industri berkenaan dengan lebih berkesan.

"Kementerian dan agensi di bawahnya turut dilengkapkan dengan sistem pengurusan dan pentadbiran dengan kemudahan Internet, intranet dan mel elektronik dapat melicinkan lagi kecekapan dan keberkesanan melaksanakan tugas," katanya di Kuala Lumpur, minggu lalu.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian majlis Kempen Siber Melawat Malaysia. Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Iskandar Dzakurnain Badarudin dan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia, Datuk Dr Arshad Hashim.

Pengguna Internet di Malaysia dipelawa merebut peluang menyertai kempen mencipta rekod dunia bagi penghantaran 50 juta mel dan kad elektronik promosi pelancongan negara ke seluruh dunia mulai 4 Mac hingga 31 Ogos.

Sekumpulan 178 sukarelawan tempatan yang menggelarkan diri mereka Pahlawan telah memulakan Kempen Siber Melawat Malaysia bertemakan Fikirkan Cuti, Fikirkan Malaysia melalui Internet di alamat www.pahlawan.com.my.

Sabbaruddin berkata, matlamat 50 juta mel dan kad elektronik itu, yang pertama seumpamanya dalam promosi pelancongan di dunia, boleh dicapai berdasarkan terdapat 700,000 pelanggan berdaftar Internet di Malaysia.

"Ia dijangka menigkat kepada 1.2 juta menjelang abad ke-21 yang mana ia boleh memberikan kesan berganda terutamanya untuk membantu mempromosikan Malaysia," katanya.

Sebelum pelancaran, kempen berkenaan sudah berjaya menyebarkan 300,000 mel dan kad elektronik oleh rakyat Malaysia kepada rakan siber mereka di luar negara.

Kempen itu turut menawarkan pelbagai hadiah bernilai RM500,000 kepada peserta, yang juga terbuka kepada pengguna Internet di seluruh dunia, yang mana pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut dan syarat pertandingan melalui laman web yang disediakan.
 

a
RAYMA
home  |  e-mail  |  sitemap
nothing's
impossible!
Contents © Copyright 2000 RAYMA | Privacy Information